I-Citra KWSP hadir untuk redakan kesan pandemik: Bagaimana memohon?

Apakah i-Citra KWSP

 

I-Citra di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah antara skim terbaharu yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu rakyat meringankan beban hidup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menerusi skim ini, seramai 12.6 juta ahli KWSP dibenar membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Ia tertakluk kepada syarat tertentu yang akan dijelaskan di bawah.

Sebelum ini, bagi tujuan yang sama, kerajaan membenarkan pengeluaran  wang KWSP menerusi skim dikenali i-Listari.

Seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu, skim i-Citra dijangka membabitkan dana bernilai kira-kira RM30 bilion bagi membolehkan rakyat menampung keperluan harian.

Beliau menjelaskan mengenai i-Citra ini ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) baru-baru ini. 

i-Citra: Syarat dan ketetapan

Apakah syarat dan ketetapan untuk membolehkan seseorang mengeluarkan caruman mengikut skim I-Citra ini?

Syarat asas ialah anda mesti pencarum KWSP di bawah umur 55 tahun. Ini termasuklah bukan warganegara dan pemastautin tetap.

Manakala jumlah baki simpanan di dalam Akaun 1 dan 2 mestilah minimum RM150 ketika tarikh permohonan.

Pembayaran yang ditetapkan setakat ini untuk tempoh sehingga lima bulan ialah RM1,000 sebulan.

Bagaimana mohon i-Citra

Ahli KWSP yang layak boleh mula memohon pengeluaran skim i-Citra ini menerusi portal di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021. 

Menurut kenyataan KWSP, portal ini hanya dapat diakses mulai 15 Julai 2021. Maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Antara info yang diperlukan ketika memohon i-Citra di portal ini ialah nombor telefon bimbit yang sudah dikemaskini dengan KWSP bagi menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

Perkara lain yang turut diperlukan dan wajib ada ialah akaun bank peribadi yang aktif.

Pembayaran

Bilakah permohonan i-Citra, jika berjaya, akan mula dibayar kepada ahli?

Ini menarik dan tentu ditunggu. Menurut kenyataan KWSP setakat ini, bayaran skim i-Citra akan mula dibayar pada Ogos 2021.

Maklumat lanjut

Jika masih memerlukan maklumat tambahan atau lebih spesifik, anda boleh mendapatkannya menerusi laman web kwsp.gov.my, media sosial KWSP di Facebook dan sebagainya serta hotline i-Citra di 03-89224848.

 

Aiziera Sukman
Aiziera Sukman
Articles: 13

Leave a Reply