Berkongsi Kepakaran Kewangan

Moratorium sangat mudah: Ini tiga langkah ringkas untuk memohon
Apa itu moratorium?
Asalnya istilah “moratorium” agak asing bagi khalayak awam. Namun, sejak wabak Covid-19 melanda, istilah ini terpaksa diperkenalkan. Dengan itu, masyarakat awam mula mengenali “moratorium”.
Terbaharu, pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menyebut istilah ini ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Sebagaimana difahami ramai kini, moratorium bertujuan meringankan beban kewangan peminjam dengan institusi kewangan dalam masa pandemik Covid-19 ini, termasuklah pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan.
Mengapa moratorium?
Mengapa moratorium perlu dan penting? Antaranya kerana moratorium memberi “kelegaan kewangan” kepada peminjam sama ada peminjam perumahan, kenderaan atau perniagaan, sekurang-kurang untuk tempoh jangka pendek.
Kali ini moratorium memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan.
Menerusi Pemulih, moratorium diberikan secara automatik kepada semua golongan, termasuklah B40, M40 dan T20. Ia juga diberikan kepada perusahaan mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas.
Peminjam diberi pilihan menangguhkan bayaran sehingga enam bulan atau hanya membuat bayaran 50 peratus daripada amaun bayaran bulanan, juga untuk selama enam bulan.
Bagaimanapun, moratorium ini tidak terpakai untuk individu muflis atau perniagaan dalam proses penggulungan.
Dan, pelanggan diberi jaminan bahawa status pinjaman mereka tidak akan direkodkan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) disebabkan moratorium ini.
Bagaimana memohon?
Kini memohon moratorium lebih mudah.
Selain tidak perlu menyerahkan dokumen sokongan kepada pihak pemberi pinjaman atau institusi kewangan, moratorium ini akan diluluskan secara automatik.
Malah menurut kenyataan Bank Negara, selain penangguhan pinjaman, institusi kewangan turut menawarkan pilihan untuk penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan sesuai dengan kedudukan kewangan peminjam.
Lebih menarik, urusan ini hanya dapat diselesaikan secara cepat dan mudah menerusi borang digital di laman web institusi kewangan atau bank mulai 7 Julai 2021. Anda hanya perlu bertindak – isi borang!
Selain borang permohonan online, peminjam boleh membuat panggilan telefon ke bank atau institusi kewangan.
Berikut ialah tiga langkah mudah untuk mendapatkan moratorium secara mudah:
- Layari laman web bank dan isi borang secara online atau hubungi bank menerusi telefon.
- Berikan maklumat peribadi dan pinjaman serta pilih jenis bantuan bayaran balik pinjaman sama ada penangguhan bayaran atau bayaran balik 50 peratus daripada amaun pinjaman bulanan.
- Baca terma dan syarat yang dinyatakan, kemudian klik “terima” terma dan syarat berkenaan.
Anda boleh klik mana-mana pautan bank berkenaan seperti Maybank, CIMB, Ambank, BSN, Bank Rakyat, Bank Islam, Hong Leong, Public Bank, Agrobank, Alliance Bank, RHB dan HSBC.
Bank akan memproses permohonan moratorium peminjam dalam masa lima hari untuk permohonan individu dan 14 hari (perusahaan IKS).
Jika menghadapi masalah dalam urusan permohonan moratorium, peminjam membuat pertanyaan atau aduan kepada Bank Negara. Maklumat berkaitan boleh dilihat di sini.